Semasa awal- awal kita dimaklumkan oleh DBP, mereka akan mengadakan MINGGU BAHASA DAN SASTERA DAN KARNIVAL JUALAN BUKU di Sandakan, hati saya berdegup- degup bagai derapan kaki kuda yang berlari kencang merentas gunung. Debaran saya sebenarnya adalah; apakah kita boleh membantu? dan apakah bentuk dan cara yang kita boleh bantu? Pemilihan Sandakan sebagai lokasi program berkenaan sememangnya satu penghargaan kepada Sandakan dan BAHASA Cawangan Sandakan itu sendiri. Usaha, komitman, dan kerjasama yang ditonjolkan oleh BAHASA Sandakan juga sebenarnya menambat hati DBP Sabah untuk berkampung di Sandakan.Alhamdulillah, sepanjang perkampungan DBP di Sandakan, BAHASA Sandakan sentiasa mencari ruang untuk membantu memeriahkan program tersebut. Kita berbangga mengatakan bahawa usaha ini berjaya dengan cemerlang. Memetik kata- kata saudara Almiey, "...tanpanya (kita semua) DBP Sabah tidak mampu melaksanakan aktiviti sebaik yang dirancang."Kejayaan ini sesungguhnya adalah gerapan dari hati kita semua. Terimalah.

Posted by BADAN BAHASA DAN SASTERA (BAHASA) SANDAKAN Sunday, 6 December 2009


Oleh NOOR AZAM
SUDAH cukup lama bekas pejuang bahasa - hampir semua sudah digelar warga emas - menunggu suara dari Parlimen. Suara prihatin terhadap kedudukan dan martabat bahasa kebangsaan kita. Justeru ‘kejutan’ Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh terhadap Jawatankuasa Istilah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disambut baik.Semoga semua pihak yang bertanggungjawab – bukan DBP saja – akan melihat kembali kedudukan bahasa kita secara serius dan rasional seperti tahun 50-an dan 80-an – zaman gemilang perjuangan bahasa Melayu! Kata Wan Hashim: ‘Kesedaran ini bukan untuk DBP saja tetapi semua pihak, termasuk kerajaan. Itu tujuannya’. Meneliti wawancara Mingguan Malaysia tanggal 2 Disember lalu, jelas sekali, Wan Hashim bukan sekadar mempersoalkan peranan DBP dan istilah Inggeris yang dimelayukan. Beliau sebenarnya ingin menarik perhatian kita – dan juga perhatian kerajaan yang beliau wakili – tentang di mana duduknya bahasa kebangsaan sekarang. Memang benarlah, apabila bercakap tentang kerja membina dan mengembangkan pemakaian bahasa kebangsaan, tumpuan kita yang pertama adalah DBP.

Meskipun jelas sekali sekarang ini ‘kuasa penentuan’ yang sebenarnya tidak ada lagi pada DBP. ‘Kuasa’ itu yang dalam zaman gemilangnya nampak jelas, sekarang semakin hilang ditelan arus gelombang politik Melayu, yang bahasa tidak lagi menjadi faktor yang menentukan. Politik Melayu sekarang dikuasai ekonomi.Kata Wan Hashim, ‘perjuangan’ bahasa ‘mesti diteruskan’. Tegasnya “Ahli politik juga perlu bertanggungjawab, bukan menjaga periuk nasi saja... perlu ada sedikit kejutan supaya kita berwaspada dengan anasir-anasir yang boleh menghancurkan budaya dan bahasa kita.”

Ditanya di mana kedudukan bahasa kebangsaan kita ketika ini, Wan Hashim berkata, “Kita mesti berpegang kepada prinsip bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Bahasa Inggeris dan lain-lainnya sebagai bahasa kedua. Kita mesti tegas.”

Melihat kepada penggunaannya sekarang ini bahasa Melayu sudah jadi bahasa kedua. Dan ada pada tempat-tempat tertentu ia jadi bahasa ketiga. Malah dalam dunia korporat bahasa Melayu sama sekali tak diperlukan! Pada suatu ketika dulu ada arahan yang tegas supaya surat-menyurat kerajaan dibuat dalam bahasa Melayu. Pegawai-pegawai bukan Melayu diberi kemudahan untuk mengikuti kursus khas bahasa Melayu. Di DBP ada bahagian khusus yang menangani kursus ini. Rancangan ini berjalan lancar dan berjaya selama beberapa tahun. Tetapi sekarang usaha ini tak perlu lagi. Malah sebaliknya ada rungutan pegawai-pegawai kita tak cekap berbahasa Inggeris.

Tokoh-tokoh korporat muda Melayu pula – termasuk yang bertugas dalam syarikat milik kerajaan (GLC) sentiasa menggunakan bahasa Inggeris. Ada menteri pun apabila bercakap tentang ekonomi mesti pakai bahasa Inggeris. Selain daripada mungkin semangat kebangsaan Melayu sudah mati, mereka pun dididik dan dilatih dalam bahasa Inggeris. Justeru kemampuan untuk menggunakan bahasa Melayu tidak ada......

bacaan lanjut :

Posted by BADAN BAHASA DAN SASTERA (BAHASA) SANDAKAN

Subscribe here